Bermula dengan lafaz Bismillah dan diikuti doa-doa terlibat, aku menaiki pesawat Boeing 140 bersama Najwa, anakku yang comel lagi cerdik. Sejak dari rumah, dia asyik bertanyakan tentang penerbangan ini. Maklumlah, penerbangan keduanya setelah tiga tahun tidak menaiki pesawat.
Namun begitu, penerbangan ini amat bermakna buat kami. Pendaratan kami dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermakna penyatuan semula sebuah keluarga yang terpisah kerana aku membawa anakku untuk bertugas di England, meninggalkan suamiku di Malaysia.
Melalui jendela, aku dapat melihat bumi indah England yang sedang kutinggalkan. Aku merasa sayu, gembira dan berdebar-debar. Tiga tahun aku dan anakku tinggal di England dan merakamkan kenangan manis buat imbauan sepanjang hayat. Najwa pun sudah pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Ketika di lapangan terbang tadi, kami sempat bergambar dengan pemain bola sepak terkenal, Michael Owen.
Lamunanku terhenti apabila menyedari salji mula turun. Entah mengapa, sejak awal lagi aku tidak sabar, tetapi berdebar-debar untuk menaiki pesawat. Najwa pula tidak lepas-lepas memandang gambar bapanya.
Kira-kira sejam dalam penerbangan, tiba-tiba kapal terbang yang kami naiki bergegar. Aku begitu terkejut lantas memeluk Najwa sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran. Penumpang-penumpang lain sudah mula bising. Tetapi selepas itu keadaan kembali tenang. Walaubagaimanapun, aku masih diulit bimbang lantaran mendapati salji semakin lebat. Hanya setengah jam kemudian, ketua juruterbang membuat pengumuman mengarahkan kami memasang tali pinggang keselamatan kerana beliau terpaksa membuat pendaratan cemas. Salji yang lebat telah mengganggu penerbangan Boeing 140. Belum sempat arahan itu dipatuhi, pesawat itu bergegar lagi lalu aku terdorong ke hadapan. Pramugari dan pramugara yang mulanya cuba mententeramkan kami juga tidak dapat mengawal diri mereka.
Kemudian, aku merasakan sesuatu dan aku dapat mengagaknya. Boeng 140 sedang menjunam dengan lajunya ke atas salji di kawasan pergunungan. Suasana pada ketika itu sungguh bising dan kucar-kacir. Apabila Boeng 140 telah terhempas ke atas salji yang tebal, serasa gugur jantung ini.
Alat penggera di dalam pesawat itu berbunyi lalu pintu pesawat itu terbuka. Para penumpang, pramugari dan pramugara meluru keluar. Begitu juga aku dengan Najwa. Manakala salji yang semakin melebat di luar pesawat pula belum menjanjikan keselamatan kami.
Ketika sedang bertolak-tolakan dengan mereka-mereka yang lain untuk keluar, aku terjatuh. Aku cuba bangun, tetapi aku dirempuh lagi. Najwa pula bagaikan dihanyutkan arus oleh tolakan mereka yang lain, yang juga sedang berjuang demi menyelamatkan nyawa masing-masing.
Demi terpandangkan satu-satunya permata hatiku ini, aku cuba lagi untuk bangun, hanya demi Allah, Najwa dan suamiku yang tercinta. Namun, apalah yang dapat kusandarkan pada kudrat perempuanku. Ya Allah, aku terlalu lemah untuk menghadapi ujian-Mu. Kau ampunilah dosa-dosaku, ya Allah. Kau selamatkanlah kami yang kerdil ini, ya Allah.
Bagaimanapun, Najwa yang kecil itu akhirnya menerima nasib sepertiku. Di celah-celah kaki manusia-manusia itu, aku melihat Najwa jatuh terjelepuk lalu dihimpit oleh mereka. Dia menangis, meraung. Sayang, maafkan ibu! Ibu tidak dapat menolong Najwa.
Di antara mereka yang sedang menerobos keluar itu, seorang lelaki yang berbadan tinggi dan tegap tunduk betul-betul di tepi Najwa lantas mendukung dan membawa Najwa kejuar. Aku bersyukur kerana pada saat-saat yang sangat genting ini, masih ada insan yang prihatin. Dalam dukungan lelaki yang tidak dikenali itu, Najwa menggapai-gapai tangannya padaku diiringi tangisan yang semakin memilukan.
Aku berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar Najwa berbahagia dan akan selamat bertemu ayahnya yang sangat dirinduinya. Sungguh, saat inilah yang paling memilukan dalam hidup seseorang - saat perpisahan terakhir. Aku mengucap dua kalimah syahadah dan satu letupan yang dahsyat di pergunungan bersalji itu meragut nyawaku, membawaku menghadap-Nya kembali.


![[MV] Super Junior - Don't Don 돈 돈! (HIGH QUALITY).mp3](http://i297.photobucket.com/albums/mm208/razidoank2008/player-swf.gif)
No comments:
Post a Comment